Saturday, August 28, 2010

Apakah Sudut Pembelajaran Di Taska?

Sudut pembelajaran adalah tempat aktiviti pembelajaran yang dilengkapi dengan alat atau bahan yang bersesuaian dengan keperluan sudut tersebut. Contohnya sudut bongkah disediakan jenis bongkah yang sesuai dengan usia kanak-kanak taska. Ada yang mengatakan sudut pembelajaran sebagai pusat pembelajaran. Perbezaan ruang pembelajaran adalah untuk membahagikan aktiviti antara sudut pembelajaran yang keadaannya sama ada senyap, bising, kering dan basah.

Sudut pembelajaran yang biasa termasuk tempat untuk melukis dan mewarna, mainan bongkah, dramatika dan peralatan rumah, sains dan penerokaan, muzik, matematik dan manipulasi, perpustakaan dan peralatan mendengar, dan kawasan permainan luar. Penyediaan sudut pembelajaran bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak taska melakukan sendiri dengan selamat, suasana bimbingan guru, aktiviti yang jelas, meransang dan bermakna.

Umumnya sudut pembelajaran adalah bergantung kepada penggunaannya. Contohnya, sudut melukis dan mewarna kedudukan terbaik dekat dengan sinki air, sudut bacaan atau perpustakaan jauh dari sinki air atau warna. Pertimbangkan keperluan elektrik, pencahayaan semulajadi, permukaan lantai dan penyimpanan. Pastikan semua perabot adalah bersaiz kanak-kanak dan penyusunan peralatan di sudut menarik dan boleh dicapai oleh kanak-kanak taska. Cuba menyertakan pembinaan alatan matematik dan literasi pada setiap sudut aktiviti. Contohnya meletakkan pelan bangunan dan peta di sudut bongkah, menggalakkan kanak-kanak taska menandakan hasil kerja lukisannya, menyediakan bahan semulajadi dan alat pengukuran di sudut penerokaan. Melabelkan peralatan pembelajaran dan semua ruang di bilik darjah supaya kanak-kanak boleh belajar untuk menghubungkan perkataan yang ditulis dengan maklumat dan arahan.

No comments:

Post a Comment