Sunday, June 20, 2010

Adakah Anak Anda Selamat Di Taska?

Setiap hujung tahun biasanya institusi penjagaan kanak-kanak atau taska akan mengiklankan keunikan. Ibu bapa mula memikirkan untuk memilih taska yang dianggap menarik. Lantas mereka menghantar anaknya kerana tertarik dengan gimik iklan yang dibaca. Apakah benar institusi berkenaan menawarkan perkhidmatan seperti yang diiklankan? Sekiranya anda mementingkan fokus penjagaan anak dan mengutamakan keselamatan anak-anak anda berikut beberapa panduan pemilihan taska diharapkan dapat memberi tumpuan penjagaan kepada anak anda.

Ibu bapa perlu mempunyai kesedaran untuk memastikan kesahihan setiap iklan yang disiarkan menerusi kertas edaran atau akhbar. Demi keselamatan dan kesempurnaan penjagaan anak ibu bapa perlu membuat lawatan ke institusi penjagaan kanak-kanak. Ibu bapa perlu memastikan dengan lebih dekat lagi tentang program dan operasi yang dijalankan oleh sesebuah institusi tersebut sebelum membuat keputusan mendaftar. Lawatan dua atau tiga buah pusat penjagaan kanak-kanak adalah penting untuk membuat perbandingan.


Dimaklumkan mengikut akta, taska ialah pusat penjagaan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Walau bagaimana ibu bapa perlu sedar bahawa perkembangan kanak-kanak di tahap 4 tahap ke bawah iaitu lahir hingga empat tahap mempunyai dua tahap perkembangan iaitu lahir hingga 1 tahun dan 2 tahun hingga awal 4 tahun. Sebaik-baiknya ibu bapa perlu melihat program yang dijalankan oleh institusi berkenaan.Sebaik-baiknya program yang dijalankan mengasingkan dua tahap perbezaan usia iaitu antara kanak-kanak lahir hingga 2 tahun dan 3 hingga 4 tahun. Perbezaan ini boleh dilihat dengan jelas dari aspek fizikal, kognitif, dan emosi.

Pastikan pengusaha taska mendapat lesen dan biasanya akan dipamerkan. Taska yang beroperasi tanpa lesen dianggap tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada kanak-kanak. Jangan ambil mudah meletakkan anak-anak anda dipremis yang tidak dilesenkan. Lesen kebenaran untuk beroperasi secara tidak langsung menggambarkan taska berkenaan telah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk membuka premis taska. Biasanya mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan seperti ciri keselamatan, keselesaan ruang dalam dan luar serta serta syarat usia pengasuh. Lesen ini juga memberi gambaran yang pengusaha mematuhi peraturan yang terkandung dalam dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Akta ini memberi kepentingan kepada dua pihak dan perlindungan kepada kanak-kanak.

Semasa membuat lawatan ibu bapa hendaklah bertanyakan program yang terdapat di institusi taska berkenaan. Biasanya mereka akan memberi risalah yang menyatakan aktiviti harian. Kalau ibu memperolehi risalah yang diiklan atau diedarkan ke rumah perlu diteliti dan pastikan perkara tersebut benar-benar dilakukan di premis berkenaan. Ibu bapa boleh bertanya untuk mendapatkan penjelasan jenis perkhidmatan yang disediakan sama ada sepanjang hari dan penjagaan mengikut kadar jam. Bertanyakan jenis aktiviti yang disediakan dan minta jadual aktiviti. Kadangkala program yang dicanangkan dalam risalah sememangnya hebat sebaliknya apabila ditinjau perlaksanaannya tidak seperti yang diiklankan. Oleh itu ibu bapa perlu berhati-hati dengan gimik iklan.

Jangan mudah terpengaruh dengan pandangan pertama terhadap premis yang gah dengan peralatan canggih dan dekorasi yang mengagumkan. Ibu bapa perlu bertanya latar belakan pengasuh yang akan menjaga kanak-kanak. Pengasuh yang menjaga anak-anak perlu mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya sijil dalam bidang pengasuhan kanak-kanak. Pengasuh-pengasuh yang berkelayakan biasanya telah mengikuti program pendidikan awal kanak-kanak di institusi yang diiktiraf oleh badan pengiktirafan seperti Agensi Kelayakan Malaysia yang dikenali sebagai MQA (Malaysian Qualification Agency). Pada masa ini terdapat banyak institusi yang menawarkan program ini. Salah satunya Universiti Tun Abdul Razak yang menawarkan program daripada peringkat diploma sehingga ke peringkat kedoktoran. Di negara maju seperti di Amerika Syarikat pengasuh disyaratkan mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Di Malaysia pengasuh digalakkan mempunyai diploma atau sekurang-kurangnya sijil dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Apakah perbezaannya antara pengasuh terlatih, pengasuh berkelayakan dan pengasuh tanpa sebarang latihan dan kelayakan? Pengasuh terlatih hanya mendapat kursus jangka pendek oleh badan-badan tertentu yang mengajurkan latihan. Mereka melatih berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui. Perkongsian pengalaman daripada ahli badan pertubuhan pengasuhan kanak-kanak. Kelemahannya mereka tidak menekankan berbagai aspek keilmuan tentang kanak-kanak secara mendalam. Penekanan ditumpukan kepada penjagaan kanak-kanak dan pengurusan taska. Pengasuh yang berkelayakan mempunyai sijil atau diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mereka mendapat latihan dan pendedahan keilmuan dalam bidang kanak-kanak. Pendekatan yang digunakan sewaktu mengasuh kanak-kanak jelas menunjukkan perbezaan yang ketara. Mereka mengamalkan segala ilmu yang dipelajari. Disamping itu mereka memahami tahap perkembangan kanak-kanak dan melaksanakan aktiviti mengikut tahap usia kanak-kanak. Manakala pengasuh yang tidak terlatih melaksanakan penjagaan mengikut apa yang difikirkan manusabah dan pengalaman yang dilalui tanpa merujuk bidang keilmuan.

2 comments:

  1. Memang tidak sama antara "Pengasuh terlatih" dengan "Pengasuh yg berkelayaka" kerana sbgm yg dikatakan pengasuh terlatih hanya mempraktikkan pengalaman yg pernah dilalui, sdgkan pengasuh berkelayakan mendapat pendedahan keilmuan.
    Allah swt juga ada berfirman:
    "Adakah sama org2 yg mengetahui dgn org2 yg tidak mengetahui? Sesungguhnya org2 yg berakallah yg dapat menerima pelajaran."
    (Az Zumar:9)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih dengan pandangan anda untuk dikongsikan bersama pembaca lain.

    ReplyDelete